16 November 2010

di mana dia?


Wahai ibu,
Di manakah ayahku?
Inginku melihat wajahnya ketika ku diberi peluang melihat dunia,
Lupakah tanggungjawabnya ketika aku dilahirkan?
Mengapa tiada laungan azan atau iqamat di telingaku, ibu?
Dan mengapa hanya ibu seorang sahaja bertarung nyawa melahirkanku?
Di manakah ayah, wahai ibu?


Wahai ibuku,
Mengapa aku dipandang enteng oleh masyarakat yang lain?
Mengapa aku tidak menjadi seperti kanak-kanak lain yang mempunyai bapa di sisi?
Sungguh, aku ingin menjadi seperti mereka!
Hati kecil ini memberontak mahukan ayah, ibu.
Mengapa ibu dibenci masyarakat?
Lupakah ayah akan tanggungjawabnya untuk melindungi ibu?
Di manakah ayah, wahai ibu?


Wahai ibuku,
Aku lihat hanya ibu yang bersusah-payah mendewasakanku,
Hanya ibu yang bekerja untuk memberiku nafkah,
Hanya ibu yang mengharungi segala perit jerih untuk melihatku membesar,
Hanya ibu..
Tiada yang lain.
Kini ku tertanya, di manakah atok dan nenekku?
Di manakah ahli keluargamu?
Sekali lagi benakku bertanya, di manakah ayah, wahai ibu?


Wahai ibuku,
Aku cemburu melihat pelajar lain dijemput bapa mereka selepas tamat waktu persekolahan,
Aku cemburu melihat bapa mereka sewaktu menghadiri hari terbuka di sekolah,
Hanya ibu seorang sahaja yang menemaniku,
Hanya ibu sahaja yang bergembira bersamaku,
Hanya ibu sahaja yang memelukku,
Hanya ibu sahaja yang menciumku,
Hanya ibu..
Tidak dapatku berkongsi rasa gembira bersama sang ayah,
Tidak dapat juga ku merasa kasih sayang seseorang yang bergelar ayah,
Di manakah ayah, wahai ibu?


Wahai ibuku,
Mengapakah engkau menangis?
Setiap malam ku mendengar esak tangismu mewarnai malammu.
Setiap malam, ibu.
Angkara siapakah, ibu?
Tidakkah engkau jemu mengalirkan air matamu setiap malam?
Di hadapanku, engkau tersenyum, bergelak ketawa.
Tetapi di belakangku?
Engkau mengharunginya seorang diri,
Di manakah ayah untuk meminjamkan bahunya untukmu, wahai ibu?

Wahai ibuku,
Kini, anakmu sudah dewasa,
Aku sudah belajar banyak perkara dalam hidup ini,
Dan aku kini sedar bahawa hidup ini tidak selalunya indah,
Melihatkan teman-temanku yang bahagia bersama ibu bapa mereka,
Aku juga bahagia bersamamu walaupun tanpa ayah,
Kerna kau bukan sahaja ibuku tetapi kau juga ayahku,
Sesungguhnya, kita bahagia melayari setiap detik hidup bersama.  




N.F.A 


No comments: